Buat kali pertama, juruhias dalaman Azman Mustafa dari NAM Interior Design & Build menampilkan kertas dinding sebagai tonggak penyeri kediaman dan bukannya binaan panel kayu, penghadang mahupun rak seperti lazim beliau lakukan.
Ia adalah untuk memenuhi permintaan tuan rumah yang menolak pembinaan pengadang kerana mahu menampilkan suasana luas dan lapang.
Kemasan kertas dinding melatari hampir keseluruhan ruang dalaman, kecuali di ruang dapur. Azman juga berjaya menterjemahkan kehendak tuan rumah yang menginginkan gaya klasik Itali di bilik tidur utama dan ruang dapur berkonsep terbuka.
Beliau menambah, satu lagi yang menarik mengenai kediaman ini adalah ia tidak mempunyai ruang menonton kerana setiap bilik dilengkapkan dengan layar televisyen.
Melangkah masuk ke ruang tamu, suasana tenang dan indah menangkap pandangan hasil pancaran kertas dinding warna lembut krim tanpa sarat bercorak.